Panggillah kami dengan apa sahaja nama
“ terencat akal” atau “ brain injured “
hakikatnya akan tetap sama
bahawa kami adalah kanak-kanak yang kurang bernasib baik
Pandanglah ibu bapa kami dengan segala simpati
dan bayangkanlah derita batin yang terpaksa ditanggung
airmata mereka sudah kering untuk meratapi kami
sesungguhnya betapa berat mata memandang
beratlah lagi hati yang memikul
Bersyukurlah ibu-ibu bapa yang mempunyai anak normal
betapa bahagianya melihat mereka cerdik dan cergas
sedangkan ibu bapa kami memikul seberat-berat beban
menanggung anak terencat akal
Bayangkanlah derita batin ibu-ibu bapa kami
dirundung sugul dari hari ke sehari
menyambut malam dengan segala kepiluan
menanti siang dengan hati yang walang
Setelah sekian lama kami terbiar
diserahkan pada nasib dan takdir
dipandang sekilas imbas dengan rasa kasihan
lalu dilupakan kembali di tengah-tengah kesibukan
Sesungguhnya banyak yang mesti
dapat dan patut dilakukan
berilah kami segala simpati
tetapi bukan sekadar ucapan “ kasihan “
Berilah kami tenaga dan masa
berilah kami wang ringgit dan fikiran
berilah kami harapan dan keyakinan baru
Sesungguhnya
dengan kemajuan sains dan teknologi
dengan segala keyakinan dan dedikasi
nasib malang kami akan dapat diatasi
No comments:
Post a Comment